Sabtu, 1 November 2014

PERIBAHASA

1.1       TAKRIF PERIBAHASA
            Pada masa sekarang, aspek Peribahasa semakin kurang dititikberatkan walaupun peribahasa merupakan elemen penting dalam kriteria berbahasa. Peribahasa merupakan bahasa klise dan milik sastera lama, tidak memahami peribahasa dengan baik, peribahasa mempunyai banyak makna tersirat, jumlah peribahasa yang banyak dan mempunyai makna tersirat, dan beberapa sebab yang lain.
            Keris Mas mendefinisikan Peribahasa sebagai percakapan atau ujaran yang mengandungi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian, yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar dan benar pada perasaan dan fikiran.
            Ishak Ramly pula menyatakan Peribahasa adalah cabang dalam sastera Melayu dan merupakan ikatan bahasa atau puisi Melayu kuno yang bernilai sastera.
            Zainal Abidin Ahmad menjelaskan peribahasa sebagai segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya dipakainya sebutansebutan orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran.
            Peribahasa adalah salah satu elemen penting dalam kemahiran berbahasa. Memahami peribahasa akan membawa pengkajinya mengenali sosiobudaya masyarakat melayu lama. Hal ini demikian kerana peribahasa dalam masyarakat melayu tradisional merupakan percakapan atau ujaran yang mereka gunakan untuk menyampaikan kebijaksanaan fikiran mereka kepada generasi muda. Sehubungan dengan itu, mengikut Abdullah Hussin(1989) peribahasa itu sama tuanya dengan bahasa sesuatu bangsa dan peribahasa mula-mula digunakan apabila bangsa manusia mula mengenal peradaban.

2.0       FUNGSI PERIBAHASA DALAM KESINAMBUNGAN WARISAN BAHASA
            Peribahasa ialah merupakan satu kiasan atau bunga bahasa dalam kata-kata yang mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tertentu. Ini menyebabkan ia mempunyai banyak peranan dalam kehidupan masyarkat.
            Peribahasa memainkan peranan dalam suatu komunikasi. Menurut Asmah Haji Omar (1986: 178), dalam kehidupan Melayu, misalnya dalam kehidupan tertentu, memang disengajakan supaya maksud dalam sesuatu komunikasi itu disampaikan secara langsung, …Penyampaian maksud secara langsung itu merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan, bahkan dipandang sebagai perbuatan yang biadap. Oleh sebab itu tidak hairanlah jika kita dapati bahasa Melayu itu kaya sekali dengan bahasa kiasan, bahasa sindiran, pepatah, petitih dan sebagainya.
2.1       Sebagai Komunikasi Formal dan Tidak Formal
            Antara fungsi peribahasa ialah sebagai alat komunikasi sama ada secara formal iaitu digunakan dalam adat istiadat tertentu atau digunakan secara tidak formal iaitu terutamanya di gunakan untuk menyindir, menegur atau mengkritik seseorang. Menguasai kemahiran komunikasi akan menjadikan seseorang itu lebih mudah mendapat kawan dan diterima dalam sesuatu masyarakat. Tentu ada alasannya mengapa kita perlu memahami dan menguasai tentang kepentingan hubungan insan. Aggaplah hubungan yang baik dengan orang lain sebagai satu perkara penting dalam kehidupan kita.Walau bagaimanapun, untuk menjalin hubungan baik dengan orang lain, kita perlu memiliki kemahiran komunikasi yang cukup berkesan. Selain daripada itu, kita juga perlu memahami beberapa prinsip asas psikologi yang dapat memberikan panduan bagi menjalin hubungan yang baik dengan orang lain.Contohnya dapat dilihat melalui peribahasa “Biar mati anak, jangan mati adat” yang bermaksud kita hendaklah mendisiplinkan diri supaya mematuhi keputusan yang telah kita buat. Selain itu peribahasa “Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak” merupakan peribahasa yang menyindir orang yang suka menjaga tepi kain orang lain. Biasanya yang nampak hanyalah kesalahan orang lain, walaupun kecil, tetapi kalau kesalahan sendiri sebesar mana pun tidak disedarinya.

2.2       Sebagai Alat Pendidikan
            Peribahasa turut berfungsi sebagai alat pendidikan. Dengan menggunakan peribahasa, sesuatu ilmu dan pengajaran dapat di sampaikan secara langsung kepada masyarakat kerana sifatnya yang flaksibel dan dapat digunakan dalam pelbagai keadaan. Contohnya peribahasa “Bagai Kacang Lupakan Kulit” yang membawa maksud orang yang telah mencapai kesenangan tidak lagi mengingat asal usulnya dahulu. Peribahasa ini mengajar kita supaya kita sentiasa mengingat asal usul kita sebelum meraih kejayaan dan tidak bersikap sombong kepada orang. Cerita-cerita Melayu seperti Malin Kundang dan Si Tanggang sering dikaitkan dengan peribahasa “Kacang Lupakan Kulit”. Sejajar dengan itu, kandungan pemikiran ini diungkapkan dalam peribahasa Melayu sebagai pengajaran dan teladan untuk bangsa Melayu memperoleh keimanan dan memotivasikan amal.
i. Seperti belut pulang ke lumpur
  Peribahasa ini mengingatkan kita agar tidak lupa asal usul dari kampung contohnya walaupun telah lama menetap di bandar dan merasai pelbagai kemewahan.

ii. Seperti enau di dalam belukar
    Masyarakat kita adalah masyarakat berilmu dan berbudi bahasa. Namun sekiranya seseorang yang   telah menikmati kejayaan dan kekayaan tetapi mementingkan diri sendiri dan tidak membantu orang lain yang memerlukan akan diibaratkan seperti enau di dalam belukar.

 iii.Besar di bawah pisang goyangan, besar di bawah tebu berlengkar
 Sekiranya seseorang itu diberikan pendidikan yang sederhana, pasti ia tidak memperoleh banyak pengalaman. Oleh yang demikian, bangsa Melayu menyarankan pendidikan diberikan sejak kecil seperti yang diungkapkan dalam makna peribahasa Masa lagi rebunglah hendaklah dilentur, jangan nantikan sampai menjadi aur supaya seseorang itu dapat melakukan sesuatu pekerjaan berpandukan ilmu yang telah dipelajari dan mendedahkan masyarakat dengan pelbagai pengalaman hidup. Bangsa Melayu adalah sangat kreatif untuk mencipta peribahasa dengan merujuk kepada sesuatu objek yang wujud dalam alam sekeliling mereka sekali gus menghargai nilai budaya masyarakat tempatan.

2.3       Nasihat dan Teguran
            Seringkali apabila seseorang menyelit peribahasa dalam perbualannya secara tidak langsung turut mengundang rasa yang pelbagai sama ada lucu, tidak percaya atau kagum sehingga menimbulkan rasa aneh dalam kalangan pendengar.  Dalam hal ini, peribahasa juga berperanan sebagai pembebas tanggungjawab perseorangan terhadap sesuatu kekuasaan. Mengikut Alan Dundes (1989) menyatakan maksud kata-kata ini ialah jika hendak mengkritik, terutamanya ingin menunjukkan kesalahan atau mencela oseseorang dengan peribahasa, individu sasaran akan lebih mudah menerima teguran tersebut daripada dikritik atau dicela secara langsung. Simpulan bahasa merupakan kata-kata yang dikiaskan atau dibandingkan dengan benda lain. Bentuknya terdiri daripada dua atau tiga patah perkataan. Contohnya, “ayam tambatan”, “buah hati”.
            Bahasa Kiasan juga selalu digunakan sebagai sindiran dan mempunyai bahasa yang tersirat. Peribahasa jenis kiasan lazimnya digunakan untuk membuat perbandingan perilaku manusia dengan alam sekitaran dengan cara yang lembut dan tidak tepat pukulannya. Contohnya dalam memberi teguran atau nasihat, masyarakat selalu menggunakan Kiasan Berangkap iaitu kiasan yang menunjukkan perbandingan secara berirama atau mempunyai erentanan bunyi antara perkara yang diperkatakan dengan benda yang dikiaskan.
Contoh                 :
i.          Sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa.
ii.         Tak tumbuh tak melata tak sungguh orang tak kata
iii.        banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam

2.4       Menyampaikan Kebijaksanaan
            Peribahasa juga berfungsi sebagai media yang mempamirkan kebijaksanaan penutur atau pewaris (juga melambangkan kebijaksanaan masyarkat khalayak). Pewaris yang terhad menyebabkan mereka dianggap sebagai golongan yang eksklusif dan istemewa. Semakin banyak mereka mewarisi puisi ini semakin tinggi sanjungan masyarkat khalayak terhadap mereka. Contohnya golongan tua banyak mengetahui dan menghafal pelbagai peribahasa sehinggakan ada diantara mereka yang dilantik sebagai ketua adat atau ketua lembaga. Ini menyebabkan mereka di pandang tinggi dalam masyarkat. Oleh itu penguasan puisi ini sekali gus dapat menunjukan ketinggian status seseorang dalam masyarkatnya.
            Selain itu peribahasa juga digunakan untuk mengambarkan sesuatu keadaan. Peribahasa digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan yang sukar untuk di jelaskan kepada seseorang. Dengan adanya peribahasa ini, sesuatu keadaan ini dapat di sampaikan dengan mudah dan ringkas. Contohnya peribahasa seperti “Kaki ayam” yang menggambarkan seseorang yang tidak menggunakan kasut atau alas kaki dan peribahasa “Puteri lilin” menunjukan individu yang tidak tahan lama berada di bawah pancaran matahari.

3.0       TIGA KEPENTINGAN PERIBAHASA DALAM TEMA BUDI BAHASA

3.1       Berjimat-cermat
Masyarakat yang suka berjimat cermat adalah masyarakat yang berbudi bahasa. Masyarakat pada masa sekarang amat mementingkan kerjaya untuk mengukuhkan ekonomi dan merancang masa depan yang cerah. Kepekaan masyarakat terhadap kegiatan ekonomi banyak dicerminkan melalui peribahasa. Ekonomi yang berkaitan dengan pendapatan, hasil usaha, kerja kuat dan berjimat cermat terungkap dalam pelbagai peribahasa yang menekankan kepentingan ekonomi tersebut. Umumnya kita mengetahui amalan berjimat cermat di kalangan masyarakat di negara kita masih lagi rendah dan perlu dipertingkatkan. Amalan berjimat cermat banyak kebaikannya. Jika amalan berjimat cermat tidak terus dipupuk, dikhuatiri sikap boros akan menjadi budaya hidup masyarakat di negara kita. Sikap yang baik ini dipuji sementara sikap yang bertentangan dikecam, seperti dalam contoh berikut:

i. Berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak
Maksud  :  Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan yang tetap.

ii. Biar titik, jangan tumpah
Maksud  : Biar rugi sedikit jangan rugi banyak.

iii. Batu yang selalu bergoek dalam sungai itu tiada dihinggapi lumut
Maksud : Seseorang yang sering bertukar-tukar kerja sukar untuk mendapat kemajuan.

iv. Cermat masa banyak, jimat masa sedikit
Maksud : Selalu berhati-hati dalam membelanjakan/menggunakan sesuatu.

Jelas di sini, masyarakat yang menggunakan peribahasa untuk menggalakkan sikap berjimat cermat adalah terdiri daripada masyarakat yang berbudi bahasa kerana mereka menegur serta menasihat orang lain dengan cara yang baik dan halus.

3.2       Berbudi bahasa
            Kehidupan masyarakat Melayu tradisional memang kaya dengan budi bicara dan adat tradisi. Sesuatu budi yang telah diberikan secara jujur seperti melepaskan kesukaran orang lain, bantuan dan kasih sayang dalam hidup berkeluarga dan berjiran akan senantiasa dikenang dari hidup hingga ke akhir hayat. Masyarakat kita amat terkenal dengan sikap suka membantu, saling menyayangi dan mudah melepaskan rasa simpati. Setiap manusia amat mengharapkan suasana kehidupan yang penuh ketenangan dan kedamaian yang bersulamkan kasih dan sayang. Oleh kerana dugaan dan cabaran seseorang itu berbeza, maka cara kehidupan seseorang juga tidak sama kerana keperluan dan kemahuan kita tidak serupa. Justeru amat perlu kita memahami dan mengerti, hakikat perbezaan ini, agar mudah untuk kita menerima orang lain seadanya. Berkasih sayang sesama manusia tiada salahnya, yang penting batasnya ada, sempadannya usah dilupa.
            Apabila perkataan budi dan bahasa digabungkan biasanya ia menjadi berbudi bahasa bukan berbudi dan berbahasa. Berbudi bahasa memperkukuhkan lagi pengertian budi dan bahasa sebagai percakapan yang baik, teliti dan elok dalam tutur kata, halus tutur kata, hormat, bijaksana, tinggi budi bicara, pemurah, belas kasihan, beradab, bersopan santun, sentiasa bertatatertib, mengamalkan budi pekerti yang baik dan mulia, tingkah laku yang baik dan akhlak yang mulia. Berbudi bahasa juga diertikan dengan berbudi melalui bahasa atau bahasa sebagai budi. Hal ini menjadikan budi itu amat luas bidangnya. Ia termasuk berbudi dengan harta, membantu dengan tulang empat kerat, memberi nasihat, memberi buah fikiran yang baik dan bernas, memberi tunjuk ajar kepada seseorang, bermanis muka, bersimpati dan menggunakan bahasa yang baik yang menyenangkan orang lain atau pendengar.
            Disebabkan luasnya bidang budi ini, semua orang boleh berbudi atau berjasa dan berbakti kepada masyarakatnya mengikut kemampuan masing-masing. Jika seseorang itu tidak mempunyai wang dan harta, dia boleh melakukannya dengan tenaga, buah fikiran, dan nasihat yang disampaikan.
Lantaran, timbul peribahasa

i.          Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati
            Maksudnya, jika tutur katanya elok, seseorang itu akan disayang semasa ia hidup, jika                          budinya banyak, seseorang itu akan dikenang walaupun ia telah mati.

ii.         Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa
            Maksudnya, berbuat baik semasa masih hidup untuk diri sendiri dan masyarakat.

iii.        Ada ubi ada batas, ada budi ada balas
           Maksudnya, sekiranya seseorang membuat kebaikan, akan mendapat balasan yang             baik            juga.

           Budi berkait erat dengan jasa. Budi dan jasa lengkap melengkapi antara satu sama lain. Budi adalah jasa dan jasa adalah budi. Tidak mungkin seseorang dapat dianggap membuat jasa jika dia tidak berbudi. Setiap anggota masyarakat ingin membuat jasa yang termampu olehnya kerana jasa serta namanya akan sentiasa dikenang walaupun setelah dia meninggal dunia.
i.          Hancur badan dikandung tanah, budi baik terkenang juga
            Maksudnya, budi bahasa yang baik tidak akan dilupakan orang walaupun sudah mati.
ii.         Harimau mati tinggal belangnya
            Gajah mati tinggal tulangnya
            Manusia mati tinggalkan nama.
            Maksudnya, seseorang yang telah meninggal dunia tetapi kelakuannya masih diingati.

3.3       Amalan Hormat- Menghormati
            Dalam menuntut ilmu, sikap hormat menghormati adalah sesuatu yang sangat dituntut. Kita bukan sahaja wajib hormat kepada ibu-bapa,guru-guru malah kepada rakan-rakan sekolah. Saling hormat-menghormati bermaksud kita bukan sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita, tetapi dalam masa yang sama kita perlu menghormati orang lain. Kita perlu hormat pendapat orang lain walaupun pendapat itu tidak sama dengan kita. Apabila kita saling hormat-menghormati, kita akan menjadi seronok untuk belajar. Pelajaran mudah masuk ke dalam minda kita. Kita tidak berasa takut apabila berada di sekolah. Penggunaan peribahasa untuk menyemai sikap menghormati juga boleh disampaikan melalui pengajaran dan pembelajaran formal atau tidak formal. Masyarakat Melayu yang terkenal dengan sikap hormat-menghormati banyak digambarkan menerusi peribahasa. Amalan menghormati orang yang lebih tua, orang miskin, guru-guru dan sebagainya telah dibentuk sejak kecil lagi.
            Peribahasa Melayu banyak menggambarkan sikap hormat-menghormati yang perlu ada pada setiap orang. Orang yang tidak menghormati orang lain akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Manakala orang yang suka menghormati orang lain akan dipandang tinggi walaupun orang itu seorang yang miskin dan tidak sempurna. Peribahasa Melayu sangat penting untuk memastikan masyarakat tidak lupa untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati. Peribahasa tersebut adalah seperti,
i.  Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat hanya akan diperolehi melalui perbincangan. oleh itu kita haruslah                                    menghormati keputusan orang lain.

ii. Sampah jangan ditendang disepak 
Maksud : Jangan sekali menghina orang yang miskin kerana orang yang miskin itu mungkin lebih                       berakhlak daripada orang yang menghinanya.

4.0       KESIMPULAN
            Peribahasa masyarakat Melayu tidak boleh dipisahkan. Keunikan penggunaan peribahasa dalam pertuturan dan kehidupan seharian akan menanamkan semangat cintakan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Kekerapan penggunaan peribahasa juga akan menyebabkan ia tidak akan pupus walaupun zaman beredar. Guru sekolah pula perlu menjadi ejen pendidikan berkesan dalam memastikan sistem pembelajaran bahasa Melayu khususnya peribahasa berfungsi dalam pembentukan jati diri pelajar. Penggunaan peribahasa dalam karangan bertujuan untuk memperindah bahasa dan untuk menimbulkan daya tarikan atau kesan-kesan lain. Karangan dan pertuturan akan lebih menarik jika peribahasa adalah unsur gaya dalam pertuturan dan penulisan. Untuk menggunakan peribahasa dengan baik, seseorang hendaklah betul-betul memahami peribahasa itu dan mengetahui tempat dan ketikanya peribahasa itu diperlukan. Kesimpulannya, peribahasa dalam pengajaran bahasa Melayu sangat bergantung pada daya kreativiti seseorang guru. Seseorang guru yang kreatif melihat peribahasa sebagai salah satu bahan pengajaran yang banyak mempunyai unsur-unsur pengajaran, kemasyarakatan,kemahiran berfikir dan sebagainya.